Nilai-Nialai Murni dalam Era Globalisasi


KEPENTINGAN NILAI-NILAI  MURNI  DALAM PENDIDIKAN ISLAM
BAGI MENANGANI ERA GLOBALISASI
Khairul Nizam Bin Mohd Khalid
Jabatan Pengajian Am ,Politeknik Ibrahim Sultan


PENGENALAN
            Apabila disebut tentang globalisasi, rata-rata ramai yang masih belum mengetahui dan memahami maksud globalisasi dengan sebenarnya. Paling kurang istilah ini pernah didengari oleh sebab ia sentiasa diwar-warkan dan disebut-sebut oleh pelbagai pihak yang berpandangan jauh dan bersedia mengharungi arus globalisasi. Begitu juga, globalisasi sering dikaitkan dengan pemodenan dan teknologi canggih. Era globalisasi dunia mencetuskan banyak perubahan dalam menghayati kehidupan selepas arus permodenan. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap nilai, budaya,pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama.Namun persoalannya ialah sejauhmanakah globalisasi membawa arus pemodenan dan teknologi canggih yang sejajar dengan kehendak dan tuntutan Islam?

            Menurut Kamus Dewan globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia didunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan. Globalisasi juga bermaksud mensosialisasikan pola atau sistem tertentu yang dimiliki oleh sesuatu negara atau kelompok sehingga menembusi seluruh dunia (Yusof al- Qardhawi,2001). Globalisasi juga disebut dengan pelbagai istilah seperti ‘dunia tanpa sempadan’ (borderless world), ‘kampung global’ atau ‘desa sejagat’ (global village) dan ‘dasar langit terbuka’ (open sky policy) merupakan suatu fenomena tatacara baru dalam mewujudkan ciri-ciri pensejagatan. Dunia mahu dijadikan suatu pentas kecil supaya mudah terjangkau dalam waktu yang singkat. Dunia juga perlu dikuasai tanpa kehadiran secara fizikal kuasa besar secara langsung, cukup hanya dengan proksinya (Ahmad Zahid Hamidi, tt).

PENDIDIKAN AKHLAK DAN ADAB
            Agama Islam sebagai ad-Deen atau way of life amat menekankan kepada pendidikan akhlak. Sesuai dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Agama itu adalah nasihat” (Sahih Muslim, Jilid 1, Bil. 43); nasihat tentang yang betul dan yang salah. Tujuan utama perutusan Nabi Muhammad s.a.w. oleh Allah s.w.t kepada manusia juga memperlihatkan kepentingan nilai akhlak atau moral dalam Islam, sebagaimana sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” (Imam Malik, hal. 132). Oleh itu, menurut kaca mata Islam nilai akhlak adalah sebahagian daripada agama Islam itu sendiri. Justeru,dalam Islam  manusia yang paling tinggi statusnya adalah manusia yang paling mulia akhlaknya dan tinggi sifat taqwanya. Malah, tidak sempurna iman seorang muslim itu sekiranya dia tidak memiliki nilai-nilai moral dan akhlak yang mulia dan terpuji. Banyak hadis yang menunjukkan kaitan  iman dengan akhlak. Misalnya, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya (Imam Ahmad, Juz 3, No. 7406) dan “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” (Sahih Bukhari, Jilid 1,Bil.10). Bagaimanapun, tidak bermakna bahawa dengan memiliki akhlak yang sempurna dan mulia sudah memadai untuk dikategorikan sebagai muslim yang benar-benar beriman.Kepentingan peranan iman kepada umat Islam diutamakan kerana ia merupakan asasyang menentukan segala amalan dan perilakunya diterima Allah s.w.t. Tiada gunanya seseorang itu berakhlak atau bermoral tinggi, namun dia tidak mempercayai dan patuhkepada peraturan dan hukum Allah s.w.t. Dalam hal ini, Tunku Sarah (1997) turut menegaskan bahawa, penerapan nilai akhlak bermula daripada intipati tauhid kepada Allah s.w.t demi melahirkan insan soleh dan berakhlak. Beliau membuat kesimpulan bahawa pengajaran nilai akhlak yang berkesan akan berlaku apabila dikaitkan dengan kepercayaan kepada Tuhan. Hanya apabila insan itu menyedari akan kehadiran Allah s.w.t, barulah dia akan mendidik hati dan diri dengan sebenarnya. Jelasnya, akhlak merupakan pelengkap kepada keimanan dan mencantikkan lagi ibadah yang dilaksanakan oleh seseorang muslim.



PEMANTAPAN PENDIDIKAN ISLAM DAN KOMPONEN AKHLAK
            Di Malaysia persoalan pendidikan akhlak diberi perhatian terutamanya dalam sistem pendidikan kebangsaan. Untuk merealisasikan hasrat ini, maka pelajar Islam diwajibkan mengikuti Pendidikan Islam, manakala pelajar bukan Islam pula dikehendaki mengikuti Pendidikan Moral.Pelaksanaan kurikulum Pendidikan Islam boleh dilihat menerusi perkembangan pendidikan Islam di negara ini. Amnya terdapat empat jenis sistem pendidikan Islam. Setiap jenis tersebut boleh diringkaskan seperti berikut. Jenis pertama merupakan pembelajaran di rumah guru. Menurut Maimunah, seperti mana dilaporkan oleh Abdullah Ishak (1995), struktur dan kurikulum pendidikan Islam di rumah guru pada zaman Kerajaan Melayu Melaka lebih menekankan kepada pengajian membaca al-Qur’an, di samping ilmu lain yang berkaitan dengan keagamaan seperti tawhid, fiqah, tasawwuf,  sejarah Islam dan pengajaran yang mendatangkan kebaikan. Selain pendidikan di rumah guru, jenis kedua ialah pengajian di institusi pondok yang dikenali sebagai pendidikan tradisional dan merupakan satu legacy pendidikan Islam yang tertua dan berpengaruh dalam melahirkan pelajar berpengetahuan agama, berakhlak tinggi serta dapat membimbing masyarakatnya (Ghazali Basri, 1991). Sebenarnya istilah “pondok” berasal daripada perkataan Arab, funduq yang bermaksud rumah-rumah kecil tempat tinggal, untuk empat hingga lima orang pelajar bagi setiap buah rumah.           Pondok-pondok itu didirikan atas usaha alim ulama dan masyarakat tempatan. Matlamat utama penubuhan institusi pondok ialah melahirkan masyarakat yang dapat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna. Justeru, kurikulum pengajian pondok lebih menumpukan kepada bidang keagamaan dan pengajarannya lebih bersifat penghafalan dan pemahaman. Jenis ketiga pula ialah sistem pendidikan berkonsepkan sistem madrasah yang lebih sistematik dan formal. Ia merupakan satu alternatif yang menarik perhatian masyarakat Melayu kerana taraf pelajaran di madrasah adalah tinggi dan kurikulumnya bersifat lebih komprehensif kerana telah dimasukkan beberapa mata pelajaran lain dalam pendidikan Islam. Ini sesuai kerana Kaum Muda ketika itu berpendapat bahawa umat Islam tidak seharusnya mementingkan akhirat semata-mata, tetapi perlu maju dalam aspek sosioekonomi dan politik agar menjadi umat yang berdaya saing dan progresif. Pertumbuhan madrasah sesungguhnya bagai cendawan disebabkan anggapan bahawa sistem pondok tidak mampu berkembang mengikut kehendak dan keperluan dalam kehidupan serba moden, di samping alasan untuk menyaingi pendidikan sekular yang ditubuhkan oleh pendakwah Kristian seperti Sekolah Convent.

RUMUSAN DAN CADANGAN
            Perbincangan di atas memperlihatkan betapa pentingnya pendidikan akhlak dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pendidikan Islam yang secara langsung berperanan mendidik dan membentuk individu muslim yang berakhlak dan beriman sentiasa mengalami perubahan demi menambahbaik dan mempertingkat keberkesanan dalam pendidikan akhlak dan moral pelajar.
            Walau apapun, yang jelasnya pendidikan akhlak dan  moral yang dilaksanakan perlu
dikaitkan dengan nilai Islam khususnya dan nilai agama amnya. Tanpa kaitan ini, insan yang bakal dilahirkan pasti tidak mempunyai kekuatan rohani dan mudah dihanyutkan oleh arus pemodenan yang bercanggah dengan prinsip Islam. Malah, mereka mudah putus asa apabila berhadapan dengan
memberi keyakinan tentang kekuasaan Allah s.w.t.

            Selain itu, pendidikan akhlak perlu menekankan kepada aspek penghayatan pelajar bukan hanya mementingkan aspek kognitif sahaja. Justeru itu, suatu langkah yang lebih menyeluruh perlu difikirkan dan diambil bagi menilai aspek penghayatan pelajar dari segi akhlak dan moral. Suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak dan moral yang baik perlu diwujudkan di sekolah, dalam keluarga dan masyarakat. Hanya dengan suasana yang saling menyokong ini, pelajar-pelajar yang berakhlak dan bermoral dapat dilahirkan.

            Di sekolah, selain pendidikan nilai Islam yang perennial, pelajar hendaklah menghayati pendidikan sepanjang hayat, kehidupan kekeluargaan yang padu, budaya dan ketamadunan Islam, dan sebagainya. Perlu juga diketengahkan psikologi dan  dalam melengkapkan Pendidikan Islam. Pendidikan Islam perlu bertindakbalas secara proaktif dan kreatif terhadap fenomena globalisasi. Ini melibatkan juga cara berfikir dan ijtihad umat Islam pada masa kini dengan mengambil kira sebarang perubahan dan pemodenan yang hadir tanpa mengenepikan prinsip dan syariat Islam. Sesungguhnya kejayaan seseorang pelajar bergantung kepada pencapaian akademik dan kemuliaan akhlak dan moral. Ukuran kejayaan seorang pelajar perlu diperjelaskan.

            Tumpuan hendaklah tidak hanya kepada aspek akademik sahaja, bahkan juga kepada aspek akhlak dan moral. Akhirnya, demi menjayakan hasrat murni iaitu melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang secara padu serta berilmu, beriman dan beramal, maka usaha dan komitmen dari pelbagai pihak sangat diperlukan. Tanggungjawab kedua-dua aspek dalam kehidupan iaitu amar makruf nahi mungkar perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog